Biografi ringkas Awang Had Salleh

Dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Pulau Betung, sebuah sekolah rendah di tempat asalnya. Pendidikannya kemudian tergendala, akibat Perang Dunia II. Walaupun demikian, beliau memperoleh keputusan peperiksaan Darjah 6 yang terbaik di seluruh negeri Kedah pada tahun 1949,[3] lalu menyertai Sekolah Melayu Seberang Perak. Pada 1951, Awang menyambung pendidikannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak seterusnya sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahagian Atas) daripada Universiti Malaya pada 1964, diselang seberapa tahun sebagai guru Bahasa Kebangsaan di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star lalu sebagai Penolong Pensyarah di Pusat Latihan Harian (DTC) yang juga di Alor Star. Pada sesi akademik 1963/1964, beliau turut bergerak aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Pada 1964, Awang menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur lalu menjadi Penolong Pensyarah/Pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 1974. Selain itu, beliau juga menerbitkan novel sulungnya, Biru Warna, pada 1966. Ringkasan penerbit novel itu berbunyi sebahagiannya seperti yang berikut: "Keindahan rasa selalunya bermain dalam cahaya biru. Dan di tangan seorang seniman, cahaya itu digarapnya menjadi nada untuk muzik, menjadi bahasa untuk sastera, dan menjadi garis untuk lukisan. Dan Awang Had Salleh bukan saja mencipta "Biru Warna", sebuah novel, tetapi juga lukisan dan lagu dengan nama yang sama." Seorang yang berkecenderungan akademik, Awang kemudian memperoleh ijazah-ijazah yang lain sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang Pendidikan dan Sosiologi daripada Stanford University, California pada tahun 1969 serta juga dalam bidang Pengajian Pengurusan Akademik dan Pembangunan daripada Lancaster University, United Kingdom (lihat bahagian kronologi untuk perincian).

Pada 1975, Awang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya dan kemudian menjadi Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia lalu menjadi Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia. Sejak 1996, beliau merupakan Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).